Satu Keluarga Sepakat Bunuh Diri

Lima sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak ditemui mati dalam sebuah van di tengah negara ini dipercayai bunuh diri, kata pihak berkuasa semalam.



Lima beranak itu, lelaki dan perempuan berusia lingkungan 30-an dan tiga kanak-kanak lelaki berusia lima, tujuh dan 10 tahun ditemui dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir di Fujinomiya, wilayah Shizuoka, kata pegawai polis di Jabatan Polis Fujinomiya.

Lima beranak berkenaan dipercayai mati akibat gas beracun karbon monoksida selepas membakar serpihan arang dalam kenderaan itu - bukan kaedah luar biasa membunuh diri di Jepun. “Kami masih menyiasat kes itu sebagai kes bunuh diri sekeluarga kerana mereka turut meninggalkan nota bunuh diri,” kata jurucakap polis.

Jepun dengan populasi kira-kira 128 juta adalah satu daripada negara yang mempunyai kadar bunuh diri tertinggi di dunia. Setiap tahun lebih 30,000 orang meragut nyawa sendiri di negara di mana bunuh diri disifatkan kurang memalukan berbanding di sesetengah negara Barat.

-Hmetro

Anjing Dikahwinkan Dalam Satu Perkahwinan Meriah


SICHUAN– Sepasang anjing yang lumpuh yang terselamat dalam kejadian gempa bumi pada 2008, telah dikahwinkan dalam satu majlis perkahwinan besar-besaran bertemakan merah jambu.

Anjing berkenaan, Guai Guai dan Lan Lan dikahwinkan dalam satu majlis yang penuh dengan adat istiadat tradisional China.

Guai Guai dan Lan Lan merupakan anjing yang dikenali oleh penduduk di situ kerana binatang berkenaan sering digunakan dalam operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Anjing-anjing tersebut menjadi lumpuh selepas terperangkap dalam sebuah bangunan yang runtuh, manakala pemilik mereka terkorban dalam kejadian berkenaan.

Majlis perkahwinan itu juga dianjurkan oleh ketua kampung berkenaan.

Mereka memutuskan untuk mengatur perkahwinan itu sebagai simbol kepada harapan dan permulaan hidup yang baru.

Guai-Guai dan Lan Lan juga mendapat sijil perkahwinan.

Bagaimanapun penduduk di Sichuan mengecam hebat majlis tersebut kerana ia bukan sahaja memperolok-olokkan institusi perkahwinan malah satu pembaziran.

Apatah lagi ketika penduduknya di situ masih berdepan dengan trauma kerana gempa bumi dengan kekuatan 7.9 magnitud itu telah mengorbankan 87,150 nyawa dan menyebabkan lebih 4.8 juta penduduknya hilang tempat tinggal.