Ketua UMNO Bahagian arah tutup bilik gerakan UMNO sebab marah pada MB

 Sinar harian
PASIR GUDANG - Sebahagian besar bilik gerakan Umno cawangan di sembilan kampung setinggan, dekat sini ditutup tanpa sebarang aktiviti persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), meskipun tarikh yang ditunggu itu semakin hampir. 

Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pasir Gudang, Abu Bakar Alibi berkata, pihaknya tidak akan menjalankan sebarang kerja-kerja persediaan PRU13 kerana terlalu kecewa dengan tindakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang masih gagal menunaikan janji pemberian hak milik tanah kepada penduduk setinggan. 

Menurutnya, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab dengan tindakan pengundi yang boleh menjejaskan calon Barisan Nasional (BN) pada PRU13, sekiranya janji yang ditaburkan sejak lebih 10 tahun lepas belum dilunaskan.
“Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku kepada calon BN pada PRU13 nanti, kami selaku Ketua Umno Cawangan tidak akan bertanggungjawab. “Sekarang sudah lima bilik gerakan ditutup, kami difahamkan empat lagi bilik gerakan di kampung setinggan akan menyusul tanpa sebarang persiapan berdepan PRU13,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Senibong, Yacob Sahadan, 68, berkata, isu pemilikan tanah itu diperjuangkan sejak 1999 bersama lebih 400 penduduk, namun masih gagal menemui jalan penyelesaian.
Menurutnya, penduduk sehingga kini masih setia menuntut janji yang ditaburkan sejak 13 tahun lalu yang disifatkan sebagai janji tinggal janji. 

“Masalah setinggan keseluruhannya melibatkan orang Melayu, jadi kami bimbang kekecewaan ini boleh menjejaskan undi Melayu dalam PRU13 nanti. “Kami tak tolak pembangunan yang dirancang kerajaan, tapi tolong jangan sampai pinggirkan penduduk asal yang bersusah-payah meneroka tanah ini selama ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Plentong Baru, Mohd Saleh Arsad, 59, pula berkata, kepimpinan utama negara, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sedang rancak menjelajah ke seluruh pelosok kawasan melancarkan janji ditepati, namun malang bagi rakyat di Pasir Gudang yang negerinya kononnya menjadi kubu kuat Umno masih menanti janji yang belum pasti.
“Ini perkara yang pernah dijanjikan Menteri Besar, kalau tak janji dan tak keluar dari mulut Menteri Mesar, kita pun tak memandai-mandai nak menuntut. “Kami akan tunggu jawapan Menteri Besar, kalau masih bermain teka-teki, kita rancang akan buat rombongan berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Seri Makmur, Nordin Kasri, 49, berkata, kekecewaan lebih 400 penduduk kawasannya jelas ketara apabila janji pemberian tanah kurnia baru-baru ini telah ditukarkan kepada tanah tol. 

Menurutnya, Abdul Ghani berjanji selepas pengurniaan tanah di Kampung Pasir Gudang Baru dan Masai akan menyusul ke Kampung Seri Makmur, namun saat akhir telah ditukar pemberian kepada tanah tol.
“Kegembiraan penduduk menunggu janji lebih 10 tahun lepas telah bertukar kecewa kerana tiba-tiba kerajaan nak bagi tanah tol yang bersifat sementara dan boleh diambil kerajaan bila-bila masa sahaja. “Surat rayuan tidak setuju penduduk telah dihantar, kita minta selesaikan perkara ini segera kerana bilik gerakan PRU13 yang hambar ketika ini tidak mustahil akan turut ditutup,” katanya. -

Wartawan veteran dedahkan terdapat ‘rundingan kerajaan perpaduan’ PAS PKR dan Umno


Oleh Mohd Farhan Darwis
June 13, 2013
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin hari ini mendedahkan terdapat rundingan perpaduan Melayu diantara parti PAS, PKR dan Umno di negeri Selangor dan Terengganu akan tetapi menemui kegagalan ekoran di pihak Barisan Nasional (BN), khasnya Umno, tidak mempunyai “operator” yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir.

Menurut bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno New Straits Times itu, di negeri Selangor, rundingan berlaku diantara ketiga-tiga parti itu disebabkan oleh permusuhan terbuka antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

“Di Selangor bisik dan risik mengenai kerajaan campuran PAS-PKR-Umno cukup serius,” kata beliau dalam tulisan terbaru di blognya bertajuk “Perpaduan Melayu: Peluang Yang Terlepas”.

“Seandainya rancangan itu berjaya, PAS, Umno dan sesetengah elemen PKR akan menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS menyumbangkan calon Menteri Besar.
“Tetapi peluang itu terlepas kerana pihak-pihak yang terbabit takut didedahkan dan tidak bersedia bertolak ansur mengenai calon Menteri Besar, kecuali Azmin yang dikatakan lebih terbuka,” tambah beliau lagi.

Kepemimpinan PAS Terengganu oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula jelasnya dikatakan berminat bekerjasama dengan Umno walaupun PAS hampir-hampir menewaskan Umno. Umno menang 17 kerusi DUN manakala PAS 14 dan PKR satu di Terengganu.

Kedah juga jelasnya mempunyai cadangan supaya BN membawa masuk seorang Adun PAS menjadi Exco sebagai tanda persaudaraan dan perpaduan Melayu-Islam.
“Tetapi peluang keemasan itu terlepas kerana BN, khasnya Umno, tidak mempunyai “operator” yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir dan kepemimpinan Umno tidak mahu bantuan luar.
“Kalau perbezaan politik dan perpecahan ini berlarutan hingga ke Parlimen dan DUN, masa depan orang Melayu, Bumiputera dan Islam akan lebih lemah dan terancam,” katanya lagi.

Beliau berkata walaupun orang Melayu-Islam adalah majoriti di negara ini, tetapi mereka lemah dari segi ekonomi dan keputusan Pilihan Raya 2013 menyebabkan mereka lemah juga dari segi politik akibat perpecahan.

“Apa yang mungkin tidak diketahui umum dan sukar dipercayai ialah Umno, PAS dan sekelompok pemimpin PKR telah kehilangan peluang untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Terengganu dan Kedah,” katanya.