PAS nafi Utusan Kami tak baling telur


  • Zulaikha Zulkifli
  • Malaysiakini  Mac 13 2013
PAS Jelebu, Negeri Sembilan menafikan laporan Utusan Malaysia yang mendakwa pihaknya melontarkan telur ke arah penceramah BN di Felcra Ayer Hitam Isnin lalu.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Jelebu, Nor Hanif Selamat sebaliknya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mereka sebenarnya menjadi mangsa balingan mercun, botol, batu dan telur.

Malah, katanya, ia juga mengakibatkan tiga orang yang hadir ke ceramah Pakatan Rakyat berdekatan tempat itu anjuran kawasannya cedera terkena botol yang didakwa dibaling penyokong BN.

"Kita tidak membalas balingan yang dibuat. Suasana tegang semasa YDP Jelebu berucap. Selepas itu pihak polis minta tangguh ceramah.

"Mereka (BN) baling mercun, botol, batu dan telur. Telur yang dibaling ada dua jenis. Yang biasa dan telur tembelang.

"Cuma ada yang mereka baling tak sampai sebab jarak mereka dengan kawasan ceramah 50 meter," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Utusan: Kena ADUN Sg Lui

Pihaknya juga berkada ada membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol semalam tentang kejadian itu.

"Pada hari kejadian, pihak polis dah ada awal dah masa ceramah bermula. Balingan memang pada kita.

"Pihak polis tak buat apa-apa. Jadi semalam, selaku penganjur, kami buat laporan polis," katanya lagi.

Utusan Online semalam melaporkan, kira-kira 15 penyokong PAS membaling telur ke arah penceramah BN iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui Datuk Zainal Abidin Ahmad sehingga terkena lengan.

Laporan itu juga menyebut, Presiden Pertubuhan Gerakan Memartabat Perjuangan Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria yang turut sama berada di situ turut terkena balingan telur di bahagian badan.

Sementara itu, di pihak Pakatan, ceramah mereka sepatutnya dihadiri oleh Naib Presiden PKR Tian Chua tetapi dibatalkan dan digantikan dengan Penyelaras JINGGA 13 Fariz Musa setelah mendapat maklumat awal berhubung rancangan "kekacauan" itu.

"Saya dah beritahu Tian Chua awal-awal supaya jangan datang. Sebab kita dapat maklumat mereka akan turun, jadi sebab bimbang keselamatan Tian Chua kita batalkan dia dan ganti dengan Fariz Musa," kata Nor Hanif.

Wartawan veteran dedahkan terdapat ‘rundingan kerajaan perpaduan’ PAS PKR dan Umno


Oleh Mohd Farhan Darwis
June 13, 2013
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin hari ini mendedahkan terdapat rundingan perpaduan Melayu diantara parti PAS, PKR dan Umno di negeri Selangor dan Terengganu akan tetapi menemui kegagalan ekoran di pihak Barisan Nasional (BN), khasnya Umno, tidak mempunyai “operator” yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir.

Menurut bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno New Straits Times itu, di negeri Selangor, rundingan berlaku diantara ketiga-tiga parti itu disebabkan oleh permusuhan terbuka antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

“Di Selangor bisik dan risik mengenai kerajaan campuran PAS-PKR-Umno cukup serius,” kata beliau dalam tulisan terbaru di blognya bertajuk “Perpaduan Melayu: Peluang Yang Terlepas”.

“Seandainya rancangan itu berjaya, PAS, Umno dan sesetengah elemen PKR akan menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS menyumbangkan calon Menteri Besar.
“Tetapi peluang itu terlepas kerana pihak-pihak yang terbabit takut didedahkan dan tidak bersedia bertolak ansur mengenai calon Menteri Besar, kecuali Azmin yang dikatakan lebih terbuka,” tambah beliau lagi.

Kepemimpinan PAS Terengganu oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula jelasnya dikatakan berminat bekerjasama dengan Umno walaupun PAS hampir-hampir menewaskan Umno. Umno menang 17 kerusi DUN manakala PAS 14 dan PKR satu di Terengganu.

Kedah juga jelasnya mempunyai cadangan supaya BN membawa masuk seorang Adun PAS menjadi Exco sebagai tanda persaudaraan dan perpaduan Melayu-Islam.
“Tetapi peluang keemasan itu terlepas kerana BN, khasnya Umno, tidak mempunyai “operator” yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir dan kepemimpinan Umno tidak mahu bantuan luar.
“Kalau perbezaan politik dan perpecahan ini berlarutan hingga ke Parlimen dan DUN, masa depan orang Melayu, Bumiputera dan Islam akan lebih lemah dan terancam,” katanya lagi.

Beliau berkata walaupun orang Melayu-Islam adalah majoriti di negara ini, tetapi mereka lemah dari segi ekonomi dan keputusan Pilihan Raya 2013 menyebabkan mereka lemah juga dari segi politik akibat perpecahan.

“Apa yang mungkin tidak diketahui umum dan sukar dipercayai ialah Umno, PAS dan sekelompok pemimpin PKR telah kehilangan peluang untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Terengganu dan Kedah,” katanya.