Gelombang Sabah beri harapan besar kepada rakyat – TG Hadi

Harakahdaily, 01 Sep 2012
 
(Ustaz Hadi berucap dalam majlis sambutan Aidil Fitri, Pakatan Rakyat Sabah)

BEAUFORT: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata gelombang baru Sabah di mana wakil rakyat mula meninggalkan BN telah memberi harapan besar kepada rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan.

Berucap di Xpresi Anak Muda Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Negeri Sabah pagi tadi, Abdul Hadi juga menyentuh soal komitmen Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat dan membina masa depan negara yang adil dan telus.


(Nasrudin memberikan ucapan)


“Ini sesuai dengan (keperluan) masyarakat majmuk. Sabah dengan gelombang baru apabila seorang demi seorang meninggalkan BN seperti Datuk Panglima Lajim memberi harapan besar kepada rakyat Sabah untuk bangkit melakukan perubahan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan betapa perlunya untuk rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan dalam pilihanraya ke 13.

Perkara itu, tegas Nasrudin, penting untuk mengembalikan hak rakyat yang sering dinafikan oleh BN melalui amalan rasuah dan kronisme.

“Jadikan semangat Aidilfitri sebagai simbol mencari kemenangan ke arah membina negara baru yang sejahtera dari korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” saran beliau.


(Ustaz Hadi bersama Datuk Seri Panglima Lajim dan lain-lain pimpinan Sabah)



(Pimpinan Pemuda PAS yang datang ke Sabah bergambar di lapangan terbang)

Kedatangan PM tak mampu atasi gelombang perubahan Sabah

Keadilandaily

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendakwa perdana menteri takut dengan peralihan sokongan di Sabah apabila mahu melawat negeri itu selepas dua anggota parlimen BN beralih arah kepada Pakatan Rakyat.
“Beliau takutkah? Saya ingatkan sebelum ini beliau cakap semuanya baik-baik sahaja dalam BN,” kata Nurul Izzah sinis, merujuk kepada lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hari ini.
Najib semalam mengumumkan yang lawatannya ke Sabah bertujuan mengukuhkan kedudukan BN di negeri itu.

Lawatan itu berlangsung selepas ahli Parlimen Tuaran Wilfred Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort Lajim Ukin menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Pakatan minggu lepas.
Pada masa sama, beliau tidak yakin lawatan Najib ke Sabah akan membawa sebarang perubahan baik secara langsung kepada penduduk negeri itu.

“Saya tak rasa dia ada keberanian yang diperlukan untuk melakukan perubahan,” katanya lagi.
Pada masa sama, pengumuman terma rujukan suruhanjaya diraja (RCI) berkenaan pendatang asing di Sabah yang akan dibuat Najib juga tidak mengganggu momentum sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu, katanya petik MalaysiaKini.

“Saya harap semua pimpinan dari parti mana sekali pun teruskan agenda perubahan di Sabah.
“Kalau Najib hendak tawar insentif apa-apa sekali pun, kami tidak akan berganjak dengan agenda perubahan kami.
“Kami sendiri pun sudah lama berikrar mahu menubuhkan RCI, dan memberikan royalti sebanyak 20 peratus kepada Sabah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Najib meluaskan terma RCI untuk menyiasat dakwaan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum.
“Kita tidak mahu RCI fokus kepada Sabah sahaja tetapi juga turut fokus kepada seluruh Malaysia.
“Kita tak mahu kewarganegaraan dijual tanpa rasa tanggungjawab,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com