Gelombang Sabah beri harapan besar kepada rakyat – TG Hadi

Harakahdaily, 01 Sep 2012
 
(Ustaz Hadi berucap dalam majlis sambutan Aidil Fitri, Pakatan Rakyat Sabah)

BEAUFORT: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata gelombang baru Sabah di mana wakil rakyat mula meninggalkan BN telah memberi harapan besar kepada rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan.

Berucap di Xpresi Anak Muda Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Negeri Sabah pagi tadi, Abdul Hadi juga menyentuh soal komitmen Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat dan membina masa depan negara yang adil dan telus.


(Nasrudin memberikan ucapan)


“Ini sesuai dengan (keperluan) masyarakat majmuk. Sabah dengan gelombang baru apabila seorang demi seorang meninggalkan BN seperti Datuk Panglima Lajim memberi harapan besar kepada rakyat Sabah untuk bangkit melakukan perubahan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan betapa perlunya untuk rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan dalam pilihanraya ke 13.

Perkara itu, tegas Nasrudin, penting untuk mengembalikan hak rakyat yang sering dinafikan oleh BN melalui amalan rasuah dan kronisme.

“Jadikan semangat Aidilfitri sebagai simbol mencari kemenangan ke arah membina negara baru yang sejahtera dari korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” saran beliau.


(Ustaz Hadi bersama Datuk Seri Panglima Lajim dan lain-lain pimpinan Sabah)



(Pimpinan Pemuda PAS yang datang ke Sabah bergambar di lapangan terbang)

TG Nik Aziz syukur dapat cicit sulung kembar

Harakahdaily

Rizal Tahir, 30 Jan 2013



KOTA BHARU: Bukan hanya mendapat cicit sulung, sebaliknya kembar pula, ia suatu anugerah yang amat tidak ternilai daripada Allah untuk beliau pada usia 82 tahun.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan perasaan itu ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, dekat sini pagi kelmarin.

Tuan Guru baru saja sampai di rumah kerana menghadiri beberapa program penting di Kedah dan Pulau Pinang.

Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Tuan Guru turut memangku cicit sulung mereka ketika sesi pertemuan itu.

Nik Isya Zulfa dan Nik Isya Zaheera, dilahirkan pada 21 Januari lalu, jam 7.15 pagi di klinik swasta An-Nur, Kubang Kerian.

Bayi kembar berkenaan merupakan cucu sulung kepada anak Tuan Guru yang sulung, Nik Aini, 50, dan suaminya, Fakhruddin.

Bayi kembar itu juga merupakan anak sulung kepada Nik Farhana, 27, anak kedua Nik Aini.

“Anak serta cucu cicit yang ramai ni merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai. Ianya cukup membuatkan saya begitu gembira amat bersyukur sekali.

“Mudahan mereka dapat menyambung risalah perjuangan Islam sebaiknya,” ujarnya lagi.

Adi Firdaus, melahirkan rasa syukur dengan kelahiran anaknya yang pertama dan kembar itu.

Menurut Adi, beliau berkahwin dengan cucu Tuan Guru pada 13 November 2011.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini mempunyai 57 orang cucu dan dua orang cicit kembar yang baru dilahirkan itu.