Saman fitnah Nik Aziz terhadap bekas KPN NSTP RM10 juta selesai di luar mahkamah


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Saman fitnah RM10 juta yang difailkan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain, selesai hari ini apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Abdul Rahim memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong.

Choo berkata plaintif dan defenden bersetuju dengan penyelesaian itu tanpa melibatkan sebarang liabiliti. Bagaimanapun, kata beliau, syarat penyelesaian tidak dapat diumumkan. "Susulan itu, Nik Abdul Aziz menarik balik saman berkenaan," katanya.

Pada 31 Mei tahun lepas, Nik Abdul Aziz memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Rahim, tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST) — Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean and Nik Imran Abdullah —, ketua pengarang kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, ketua pengarang NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan. Dalam penyata tuntutannya, Nik Abdul Aziz berkata defendan secara bersama bertanggungjawab menulis dan menyebabkan penerbitan satu artikel berunsur fitnah pada muka surat 6 akhbar itu pada 8 Mei tahun lepas.

TG Nik Aziz syukur dapat cicit sulung kembar

Harakahdaily

Rizal Tahir, 30 Jan 2013



KOTA BHARU: Bukan hanya mendapat cicit sulung, sebaliknya kembar pula, ia suatu anugerah yang amat tidak ternilai daripada Allah untuk beliau pada usia 82 tahun.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan perasaan itu ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, dekat sini pagi kelmarin.

Tuan Guru baru saja sampai di rumah kerana menghadiri beberapa program penting di Kedah dan Pulau Pinang.

Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Tuan Guru turut memangku cicit sulung mereka ketika sesi pertemuan itu.

Nik Isya Zulfa dan Nik Isya Zaheera, dilahirkan pada 21 Januari lalu, jam 7.15 pagi di klinik swasta An-Nur, Kubang Kerian.

Bayi kembar berkenaan merupakan cucu sulung kepada anak Tuan Guru yang sulung, Nik Aini, 50, dan suaminya, Fakhruddin.

Bayi kembar itu juga merupakan anak sulung kepada Nik Farhana, 27, anak kedua Nik Aini.

“Anak serta cucu cicit yang ramai ni merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai. Ianya cukup membuatkan saya begitu gembira amat bersyukur sekali.

“Mudahan mereka dapat menyambung risalah perjuangan Islam sebaiknya,” ujarnya lagi.

Adi Firdaus, melahirkan rasa syukur dengan kelahiran anaknya yang pertama dan kembar itu.

Menurut Adi, beliau berkahwin dengan cucu Tuan Guru pada 13 November 2011.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini mempunyai 57 orang cucu dan dua orang cicit kembar yang baru dilahirkan itu.