Ketua Mahkamah Indonesia Ditahan


JAKARTA – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan (MK) Indonesia, Akil Mochtar di sini pada Rabu malam kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian Pilihan Raya Umum (PRU) Pegawai Daerah Gunung Mas, Kalimantan Tengah.

Penangkapan itu memberi tamparan hebat kepada institusi kehakiman Indonesia kerana Mahkamah Perlembagaan mempunyai reputasi sebagai satu daripada institusi paling bersih di republik itu.

Turut ditangkap bersama Akil di kediamannya pada kira-kira pukul 10 malam tadi, ialah seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dan seorang usahawan, di mana para pegawai KPK telah merampas wang dolar Singapura bernilai antara Rp2 bilion hingga Rp3 bilion.

Dua lagi suspek kemudian ditangkap para pegawai KPK di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Jurucakap KPK, Johan Budi memberitahu sidang akhbar di bangunan KPK lewat malam tadi bahawa suruhanjaya itu telah menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan berinisial AM kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian PRU Pegawai Daerah Gunung Mas itu.

Beliau juga mengesahkan lima suspek telah ditangkap suruhanjaya itu berhubung kes berkenaan, iaitu tiga orang di kediaman Ketua Mahkamah Perlembagaan di Jakarta Selatan dan dua orang di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Sementara itu, seorang Hakim Mahkamah Perlembagaan Hamdan Zoelva memberitahu pemberita di bangunan Mahkamah Perlembagaan lewat malam tadi bahawa sehubungan dengan perkembangan terbaharu itu, kesemua hakim mahkamah itu akan berusaha mengembalikan integriti dan kewibawaan Mahkamah Perlembagaan.

Satu daripada langkah yang akan diambil ialah membentuk Majlis Kehormatan yang dianggotai seorang hakim Mahkamah Perlembagaan, seorang pemimpin Suruhanjaya Kehakiman, bekas pemimpin agensi kerajaan dan tokoh akademik kanan dalam bidang undang-undang.

Majlis Kehormatan itu tidak akan mengganggu siasatan jenayah oleh KPK tetapi hanya akan meneliti persoalan etika hakim dan keputusan majlis itu boleh berbentuk bebas tanpa tuduhan, amaran, amaran keras hingga diberhentikan secara tidak hormat, kata beliau. – AHMAD FUAD YAHYA/BERNAMA

Saman fitnah Nik Aziz terhadap bekas KPN NSTP RM10 juta selesai di luar mahkamah


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Saman fitnah RM10 juta yang difailkan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain, selesai hari ini apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Abdul Rahim memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong.

Choo berkata plaintif dan defenden bersetuju dengan penyelesaian itu tanpa melibatkan sebarang liabiliti. Bagaimanapun, kata beliau, syarat penyelesaian tidak dapat diumumkan. "Susulan itu, Nik Abdul Aziz menarik balik saman berkenaan," katanya.

Pada 31 Mei tahun lepas, Nik Abdul Aziz memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Rahim, tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST) — Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean and Nik Imran Abdullah —, ketua pengarang kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, ketua pengarang NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan. Dalam penyata tuntutannya, Nik Abdul Aziz berkata defendan secara bersama bertanggungjawab menulis dan menyebabkan penerbitan satu artikel berunsur fitnah pada muka surat 6 akhbar itu pada 8 Mei tahun lepas.