Syabu RM3 89 Juta Dirampas Di Alor Setar


ALOR SETAR – Seorang lelaki ditahan dan pihak berkuasa merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM3.89 juta dalam pemeriksaan di terminal bas ekspres Shahab Perdana di sini, dua hari lepas.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif, berkata penganggur berusia 43 tahun itu ditahan ketika menunggu bas, dipercayai untuk menghantar dadah itu ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata 20 ketulan mampat seberat 20.497 kilogram yang dibalut dengan pita pelekat berwarna coklat itu ditemui dalam beg pakaian beroda berwarna hitam yang dibawa lelaki terbabit.

“Dalam beg pakaian itu suspek hanya letak dua beg berwarna hitam lain untuk lindung dadah daripada dikesan pihak berkuasa. Kami sedang menyiasat sama ada dadah itu diseludup masuk dari Thailand ke negara ini oleh suspek itu sendiri atau melalui orang lain.

“Bapa kepada dua anak itu juga dipercayai masuk ke negara ini dari Thailand pada hari sama sebelum ke terminal bas Shahab Perdana untuk ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Kedah di sini hari ini.

Abd Aziz berkata suspek yang berasal dari Alor Setar itu direman hingga 27 Ogos ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Foto: Harian Metro

Posting Komentar