Artikel ‘Chinese Dilemma’ Tun M digugur dari Facebook

Oleh Mohd Farhan Darwis

August 01, 2013

Facebook Dr Mahathir.Facebook Dr Mahathir.Artikel yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan daripada laman sosial Facebook atas dakwaan menyalahi standard komuniti.

Artikel bertajuk "The Chinese Dilemma" itu digugurkan selepas pentadbir laman Facebook Dr Mahathir memuat naik artikel berkenaan yang juga boleh didapati dalam akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST).

"Kelmarin pentadbir (admin) meletakkan satu rencana yang ditulis oleh mantan Perdana Menteri kita ini bertajuk The Chinese Dillema.  Artikel itu dibuang kerana melanggar community standard, kononnya. Ini bermakna ramai tersentuh dan menentang serta komplen apa yang ditulis oleh YAB Tun kepada Facebook," kata admin Facebook milik Dr Mahathir yang hanya dikenali sebagai "KN".

 KN juga turut menyeru orang ramai membaca artikel berkenaan yang boleh didapati di laman web NST dan menilai sama ada artikel berkenaan benar-benar menyentuh standard komuniti atau sebaliknya.

"Anda baca sendiri di New Straits Times web edition dan tentukan sendiri sama ada ia melanggar community standard Facebook atau lebih menyerlah apa yang dipanggil "unpleasant truth," kata admin Facebook berkenaan.
Dipercayai artikel Dr Mahathir itu digugurkan setelah menerima banyak aduan menyalahi standard komuniti.

Malah, ia berkemungkinan dipercayai menimbulkan ucapan berunsur kebencian, yang mana menurut laman sosial berkenaan "menyerang individu berdasarkan kaum, etnik, asal usul, agama, seks, jantina, orientasi seksual, kurang upaya, atau penyakit."
Dr Mahathir dalam ruangan artikel beliau itu menulis komuniti China memperolehi hasilnya melalui perkongsian kuasa dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, taraf kehidupan mereka juga lebih baik berbanding zaman sebelum Kemerdekaan yang ketika itu Malaysia ditadbir oleh British.
Masyarakat Cina membentuk 30 peratus daripada 28 juta populasi di negara ini.

Serangan dan kritikan terhadap sesetengah bangsa mula terbit apabila keputusan Pilihan Raya 2013 menunjukkan BN kehilangan sokongan pengundi Cina.
Akhbar Umno, Utusan Malaysia kemudiannya memaparkan tajuk muka hadapan "Apa Lagi Cina Mahu" yang mencetuskan kontroversi dan kritikan banyak pihak. - 1 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider

Posting Komentar