KOTA BAHARU – Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan ‘Human Variome Project South East Asia (HVP) Node’, antara yang pertama di rantau Asia Tenggara, bagi mengumpul data berkaitan genetik etnik untuk kajian penyakit dan evolusi khususnya, di Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM Prof Dr Adnan Hussein berkata keseluruhan projek yang disokong oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) dimulakan pada 2010 dengan pembiayaan RM1.2 juta melalui geran tertentu dari Malaysia.
“Malaysia menubuhkan ‘Node’ tersendiri tahun lepas sebagai pangkalan data pelbagai etnik di negara ini melalui kajian genetik dan deoxyribonucleic acid (DNA) untuk memudahkan kajian mengenai sesuatu jenis penyakit.
“Sejak ditubuhkan tahun lepas, ada beberapa negara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam berminat menyertai projek ini dan sering mengemas kini pangkalan data berkaitan sesuatu penyakit di tempat mereka,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran projek berkenaan di Dewan Utama, USM Kubang Kerian di sini hari ini.
Turut hadir, Anggota Lembaga Pengarah Projek Variom Manusia Chris Arnold, Ketua Projek HVP Malaysian Node Prof Dr Zilfalil Alwi dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof Dr Ahmad Sukari Halim.
Pada majlis itu, Dr Zilfalil turut mengadakan syarahan umum bertajuk ‘Mengenali Masyarakat Melayu Melalui Kajian DNA Dan Implikasinya Terhadap Penyakit dan Evolusi’ sempena pelantikannya sebagai profesor.
Dr Zilfalil, pada sidang media sama berkata sejak pengumpulan data dijalankan beberapa tahun lepas, pihaknya menemui lebih 10 jenis penyakit yang sering menyerang rakyat di negara ini terutama etnik Melayu seperti kanser dan talasemia.
“Dengan menggunakan pangkalan data genetik ini, doktor boleh menggunakan maklumat itu untuk menambah baik rawatan yang diberi kepada pesakit manakala pengamal perubatan kimia pula boleh mencipta ubatan yang lebih baik untuk merawat sesuatu penyakit.
“Selain khusus kepada bidang perubatan, pangkalan data ini juga boleh digunakan oleh ahli antropologi atau arkeologi untuk meningkatkan kajian dalam bidang sejarah,” katanya.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2010, Node mempunyai 70 keanggotaan daripada pelbagai universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara itu, Arnold berkata Node adalah satu projek global yang berpangkalan di Melbourne, Australia dengan 78 negara mengambil bahagian dalam projek itu manakala 19 negara telah membina pangkalan data mereka sendiri.
Beliau berkata semua data berkaitan penyakit ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan sebarang maklumat boleh diakses oleh pengamal perubatan negara terlibat dalam membangunkan projek bidang perubatan yang lebih baik. – BERNAMA
Posting Komentar